Pasangan suami isteri yang baru dikurniakan anak lazimnya
berasa teruja dan tidak sabar untuk melihat bayi mereka pandai berjalan.
Mereka sudah pasti berbangga memberitahu rakan-rakan bahawa
bayi mereka yang comel sudah mula bertatih dan berjalan jatuh.
Ada juga yang tidak sabar dan cuba mengajar bayi mereka belajar berjalan,
lebih-lebih lagi apabila melihat anak rakan yang sebaya sudah pandai berjalan
mahupun berlari.
Sebenarnya, bayi tidak perlu diajar kerana mereka akan membuat keputusan sendiri apabila telah
bersedia untuk melakukan perkara itu.
Ibu bapa juga tidak seharusnya membandingkan anak mereka
dengan anak orang lain, kerana setiap bayi berbeza tahap pembesarannya. Mereka
harus belajar menerima seadanya.
Boleh jadi satu hari nanti anda akan melihat bayi cuba
bertatih sendiri pada sambutan hari jadi pertamanya. Sesetengah kanak-kanak
bagaimanapun, masih gagal berdiri sendiri walaupun telah mencecah usia 18
bulan.
Jika perkembangan dalam aspek-aspek lain seperti fizikal,
pertuturan dan sebagai berlaku secara normal, ibu bapa sepatutnya tidak perlu
berasa bimbang.
Namun, sekiranya masih berasa terlalu risau mengenainya,
pergilah berjumpa doktor.
Berjalan ada kaitannya dengan keseimbangan dan perkembangan
motor. Bagi sebahagian kanak-kanak, mampu berdiri adalah satu pencapaian,
manakala melangkah setapak demi setapak adalah satu matlamat yang mesti dicapai
tanpa merasai penat.
Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi
membantu anak-anak belajar berjalan.
Sebagai contoh, galakkan mereka berdiri dan berpegang pada
perabot untuk menambah kestabilan dan membantunya belajar mengimbangkan diri
dengan betul.
Apabila anak lebih yakin, dia akan lebih suka bergerak di
sekeliling perabot itu untuk mendapatkan mainan kegemarannya.
Berikut beberapa panduan bagi membantu anak agar pandai
berjalan:
Walker bayi
Peralatan seperti tempat duduk, beroda dan berbingkai
(walker) bukanlah alat bantuan terbaik untuk mendidik anak belajar berjalan
dengan lebih cepat.
Ini kerana, kerusi walker boleh menghalang perkembangan
semula jadi mereka untuk belajar bertatih.
Bayi yang menggunakan walker akan bergantung kepada alat itu
untuk mengimbangkan diri dan bergerak. Akhirnya, otot yang mereka perlukan
untuk berjalan tidak akan berkembang sepenuhnya.
Walker juga perlu digunakan dengan berhati-hati kerana
statistik kemalangan meningkat setiap tahun berpunca daripada alat tersebut.
Berkaki ayam
Cuba memakaikan kasut pada bayi agar mereka belajar bertatih
dengan pantas bukan tindakan yang betul.
Biarkan anak membiasakan diri dengan pelbagai jenis
permukaan seperti rumput, karpet, kayu dan pasir. Ia suatu suasana pembelajaran
yang menarik dan menyeronokkan bagi anak-anak.
Pegang tangan
Walaupun ia kelihatan seperti cara terbaik untuk membantu
anak, tetapi dengan memegang tangan ibu bapa mengganggu keseimbangan badannya.
Ini kerana kejadian alam telah melengkapkan kita dengan
tapak kaki dan jari kaki bagi keseimbangan badan.
Sebaliknya, cuba pegang anak pada badannya agar ia berdiri
tegak.
Interaksi
Pengalaman ini merupakan satu perspektif baru bagi
kanak-kanak dan pasti bukan sahaja ia teruja malah ibu bapa juga berkongsi
kegembiraan itu.
Habiskan banyak masa dengannya untuk memberikan anak anda
keyakinan untuk bangun sendiri apabila jatuh, ketawa dengan gembira dan
galakkan dia agar mencuba lagi.
Anak anda akan cuba mencapai apa sahaja apabila dia mula
berjalan. Dan anda pastinya merindui hari-hari ketika dia cuma terbaring di
atas katilnya!
Sumber : Utusan Online
0 Response to "Mengajar Anak Berjalan"
Post a Comment