Otak adalah organ
terpenting dalam operasi tubuh. Otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri
dan kanan. Otak kanan melihat sesuatu perkara secara menyeluruh dan lebih fokus
kepada imaginasi dan kreativiti. Bahagian kiri otak pula adalah untuk
menyelesaikan sesuatu yang kritis. Otak kiri lebih kepada urutan, kemahiran
analitis dan pemikiran logik.
APAKAH KECERDASAN MINDA?
Pada usia lima hingga enam tahun mereka sedang meniti usia pra
sekolah. Lazimnya ketika ini, sebahagian besar daripada otaknya sudah
diterokai. Pendedahan kepada apa sahaja yang dilihat dan didengar dan disebut
kekal di dalam memori otak. Setiap saraf dan sel otak berhubung antara satu
sama lain untuk membentuk satu sesuatu kemahiran atau kepandaian untuk
mempelajari sesuatu. Kecerdasan otak amat membantu anak untuk memberikan
perhatian dan konsentrasi ketika di dalam kelas. Perkembangan kognitif dan
kebolehannya menggunakan memori jangka panjang membantunya terus meneroka dan
mengembangkan kebolehannya untuk mempelajari sesuatu yang baru.
BAGAIMANA MELATIH KECERDASAN MINDA ANAK?
Minda yang cerdas memainkan peranan penting untuk melancarkan
proses pembelajaran anak.
Kajian menunjukkan kebolehan seseorang untuk menerokai minda
adalah dengan perubahan biologi yang disumbangkan menerusi latihan fizikal.
Sebenarnya kecerdasan otak boleh kita latih dan cetuskan menerusi persiapan
tubuh, permainan dan pergerakan fizikal tertentu yang terbahagi kepada dua fasa
iaitu fasa pertama dan kedua.
FASA PERTAMA - PERSEDIAAN TUBUH DAN FIZIKAL
1-SENTIASA TERHIDRAT
Anda perlu memastikan si manja mengambil secukupnya dalam sehari.
Latih anak untuk minum sekurang-kurangnya segelas air sebelum memulakan
pembelajaran. Hal ini kerana air membekalkan keseimbangan elektrolit dalam
badan dan memberikan keadaan sesuai untuk sel-sel berhubung antara satu lain.
Membekalkan anak dengan air dan melatih mereka meminum air sekurang-kurangnya
satu liter sehari pada peringkat usia ini adalah amalan terbaik untuk
kecerdasan minda.
2-MAKANAN UNTUK MINDA
Pemakanan seimbang amat penting untuk tumbesaran si manja. Namun,
sesetengah makanan dipercayai berupaya membantu meningkatkan fungsi minda. Si
manja perlu dibekalkan dengan makanan yang kaya antioksidan yang mampu
mengelakkan kemerosotan memori, mengekalkan koordinasi dan pergerakan motor dan
keseimbangan tubuh. Selain itu, sajian yang kaya minyak omega 3 seperti ikan
lautan sejuk, badam, keju, beras perang, walnut, minyak canola, bijan. Selain
itu kekacang dan telur yang diperkaya kandungan omega 3 juga adalah opsyen
terbaik.
Makanan yang berkarbohidrat juga diperlukan dalam kuantiti yang
sederhana dalam diet mereka. Makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat
kompleks seperti oat, yogurt, roti gandum penuh dan aprikot kering adalah
contoh karbohidrat kompleks yang digalakkan untuk menajamkan minda si cilik.
Makanan yang kaya choline seperti telur dan kekacang amat
penting untuk otak membina memori. Vitamin A yang banyak didapati dalam
buah-buahan sayuran berdaun hijau gelap, jingga dan kuning membantu
mengoptimumkan keupayaan minda untuk mengingati.
3-TIDUR YANG CUKUP
Anda perlu memastikan si manja mendapat tidur yang cukup.
Kanak-kanak pada usia lima hingga enam tahun masih memerlukan tidur pada waktu
siang. Jumlah waktu tidur mereka sehari hendaklah sekitar 10 hingga 12 jam
sehari. Hal ini penting untuk membantu si kecil dalam memberikan fokus dan
tumpuan ketika belajar.
4-SENAMAN
Memetik kata Dr Gwen Dewar dalam artikelnya dalam laman
parentingscience.com, kecergasan fizikal banyak mempengaruhi untuk mengukuhkan
fungsi minda yang lebih baik pada kanak-kanak. Hal ini akan bakal membantu
mereka menumpukan perhatian pada sesuatu dan mengabaikan gangguan yang ada di
sekelilingnya. Dedahkan si cilik dengan seberapa banyak aktiviti fizikal
seperti sukan atau tarian untuk memastikan dia lebih mudah menumpukan perhatian
semasa di dalam kelas.
FASA KEDUA - BINA MINDA MENERUSI PERMAINANNYA
1-MAINAN KAD IMBASAN
Bermain dengan kad imbasan membantu perkembangan kognitif anak.
Walau pun permainan sudah dimulakan seawal kelahiran, mainan ini boleh diteruskan
untuk membina ingatan dan memorinya dengan mudah.
2-BLOK MAINAN BERWARNA WARNI DAN BERBENTUK JIGSAW
Permainan blok, pelbagai bentuk dan jigsaw menambahkan kebolehan mereka
untuk berfikir. Kebanyakan alat permainan berwarna-warni dan bermacam-macam-macam
bentuk, saiz dan corak. Bermain dengannya akan menambahkan kemahiran koordinasi
mata-otot-mental untuk menyaring maklumat dengan lebih cekap. Anda boleh
bermain bersama dengan anak jenis jigsaw puzzle,mencantum
blok bersambung serta mengasingkan objek mengikut bentuk dan warna untuk
menajamkan minda dan menyerlahkan keupayaannya.
3-GUNAKAN TANGAN YANG BUKAN DOMINAN
Jika si kecil menggunakan tangan atau kaki kanan sebagai anggota
dominan, anda boleh mengajarnya menggunakan tangan kiri atau kaki kiri untuk
melakukan aktiviti seperti melukis atau menyepak bola.
4-MAIN HARTA KARUN
Anda juga boleh mengajak anak mencari harta karun. Berikan mereka
klu dan suruhlah mereka mencari barang tersebut berdasarkan klu yang diberi.
Sebagai contoh soalannya boleh berbunyi; Cuba cari benda yang berbentuk bulat
di dalam sebuah kotak berwarna hijau di atas meja tulis. Pastikan klu yang
diberi jelas dan anda boleh sediakan hadiah untuk permainan ini.
5-BOLA PING PONG DALAM SUDU
Anda juga boleh meningkatkan kecerdasan minda anak dengan bermain
permainan membawa bola pingpong dengan anak. Permainan ini akan membantu si
manja mengukuhkan kawalan koordinasi badan dan minda.
Aktiviti-aktiviti ini membantu cilik mendapat minda untuk cerdas.
Selain itu, otak mereka juga sedang ‘bersenam’ untuk menerima seberapa
banyak maklumat yang berguna. Hal ini juga meningkatkan keyakinan diri dan
memperkaya pengalaman mereka. Tidak salah mencuba melatih minda anak kerana
dalam masa yang sama ia membantu membina keterampilan positif pada si manja dan
menggalakkan pertumbuhan tubuh badan yang sihat sebagai persediaan untuk
menerima pelajaran di sekolah.
Sumber : Majalah PA&MA
0 Response to "Ayuh Tingkat Kecerdasan Minda Anak"
Post a Comment