Kalau kita berkebun, musuh utama tanaman kita
adalah siput babi. Memang habislah daun-daun hijau tanaman kita kalau siput ni
menyerang. Apa yang selalu kita buat dengan siput tu? Kita kutip dan buang
jauh-jauh? Atau hempaskan ke tanah (ini edisi kejam dan tolong jangan buat.
Dosa tau….) Tahukah anda di negara Eropah orang di sana gemar memakan siput babi
siap ditulis di dalam buku resepi lagi cara-cara untuk memasaknya.
Persoalannya, lalukah tekak kita untuk makan? Bagaimana pula dengan hukum bagi
kita yang beragama Islam? Ikuti persoalan ini...
ISU:
Adakah
siput escargot halal atau haram dimakan oleh orang Islam? Siput ini berasal dari Perancis dan diternak
secara meluas di banyak negara Eropah termasuk US, England, Australia dan
Bulgaria. Ia memiliki rupa yang sama seakan-akan siput babi tetapi daripada
genus yang berbeza. Siput babi adalah helix aspersia manakala siput escargot
adalah helix pomatia. Siput ini kini boleh didapati dalam menu di sebahagian
kecil restoran dan hotel di negara ini.
PENJELASAN:
Escargot
adalah perkataan dalam Bahasa Perancis yang merujuk kepada sejenis siput yang
dikenali dalam Bahasa Malaysia sebagai siput babi. Walaupun kedapatan beberapa
jenis siput babi seperti helix aspersia dan helix pomatia, tetapi kedua-duanya
adalah tergolong dalam genus yang sama iaitu Genus Helix. Dalam Bahasa Arab,
siput babi dikenali sebagai halazun (حلزون).
Dalam
fiqah, halazun/escargot adalah tergolong dalam kumpulan ‘hasyaraat’ iaitu
haiwan kecil yang melata/menjalar. Dalam mazhab Syafie, secara umumnya haiwan
yang tergolong dalam hasyaraat adalah haram dimakan kerana termasuk dalam
haiwan yang dianggap keji (khabisah). Ini berdasarkan kepada firman Allah
Taala:
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمْ
الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan dia menghalalkan bagi mereka
segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
(Surah Al-A’raf: 157).
Berdasarkan
kaedah pengharaman haiwan-haiwan yang dianggap keji, maka mazhab Syafie dan
majoriti ulama berpendapat bahawa halazun/escargot adalah haram dimakan.
Pandangan ini disebut dalam keterangan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang
bersidang pada 2 April 1998 dalam membincangkan tentang pembiakan siput babi.
Antara lain, Muzakarah menyatakan:
“Menurut Mazhab Shafie, siput babi dianggap
sebagai khabisah kerana apabila ia mati ia tergolong sebagai bangkai.
Dari segi
kaedah ‘ilah dan ma’lul khabisah ialah ‘ilah kepada pengharaman. Oleh itu siput
babi ini hukumnya haram dimakan. Dalam Mazhab Syafie juga, binatang-binatang
yang halal dimakan hanyalah binatang-binatang yang telah disembelih sahaja,
kecuali jenis ikan dan belalang”.
Memandangkan
isu halal atau haram memakan halazun/escargot adalah bersifat ijtihadiah kerana
tidak ada nas qat’ie daripada al-Quran dan Sunah berkaitan dengannya, maka ada
ulama yang mengharuskannya dan mereka berpegang kepada asal hukum makanan
adalah halal sehingga ada nas yang mengharamkannya. Manakala majoriti ulama’
yang mengharamkannya berpendapat ia adalah hasyarat, dan ia bukan haiwan yang
disembelih, maka jika ia mati, ia adalah bangkai.
Wallahu A’lam.
Sumber: e–fatwa
0 Response to "Siput Babi (Escargot) hidangan lazat? Halal ke untuk dimakan?"
Post a Comment