Membaca adalah
perkara utama untuk membentuk perkembangan otak anak-anak. Pada peringkat awal
,pengalaman membaca di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dipupuk supaya
mereka lebih kreatif, bijak berimaginasi dan minat belajar.
Tidak semua anak-anak suka melihat buku namun sikap suka meniru
kelakuan ibu bapa di depan mata adalah jalan mudah untuk melatih mereka
berminat terhadap buku. Pastikan anak-anak melihat anda membaca buku, majalah
atau suratkhabar supaya sikap ini mendorong mereka turut membaca.
Jika anda mahu mengajak anak membaca, pastikan lokasi yang selesa
untuk mereka. Misalnya, membaca di dalam bilik dan di atas katil. Setelah anda
membaca, jangan lupa ceritakan semula apa yang anda baca untuk memastikan
mereka benar-benar faham dan membuatkan mereka terus berimaginasi.
Sekiranya mereka mempunyai buku atau penulis kegemaran, biarkan
mereka terus mengulangi membaca buku tersebut tetapi beri juga galakan untuk
mereka membaca buku-buku lain tetapi mempunyai persamaan.
Jangan merasa terbeban membawa anak-anak ke perpustakaan sambil
membuat kad pustakawan untuk menggalakkan mereka meminjam sekurang-kurangnya
lima buah buku. Lebih banyak buku yang dipinjam, lebih banyak genre yang akan
mereka kenali.
Apabila anda mendapati anak-anak kurang minat membaca, latih
mereka dengan buku-buku yang penuh dengan ilustrasi bergambar serta warna-warna
ceria untuk menarik minat mereka membaca. Kaedah ini membuatkan mereka tidak
jemu apabila melihat buku.
Jika anak anda tidak suka membaca, cari buku yang berbentuk audio
kerana ia membantu anak-anak lebih menghargai seni bercerita. Lama-kelamaan,
minat membaca boleh dipupuk.
Beritahu anak anda bahawa mereka tidak ada had untuk membaca.
Beritahu juga bahawa mereka dibenarkan membaca di atas katil iaitu sebelum
masuk tidur. Hal ini membantu mereka tidak menganggap aktiviti membaca satu
perkara membebankan sebaliknya menjadi satu perkara yang sangat menarik.
Diharap, kaedah mengajak anak membaca bersama-sama ini membantu
mereka menerokai dunia seni dengan lebih jauh serta faedah yang akan diperolehi.
Semuanya bermula dengan keseronokkan tanpa perlu memaksa. Jadi, cerita apa yang
akan anda baca untuk anak-anak hari ini?
Sumber :
Majalah Seri Dewi & Keluarga
0 Response to "7 Tip Buat Anak Seronok Membaca"
Post a Comment