Bak kata pepatah, ‘Sayang anak, tangan-tangankan’ di mana jika
perlu, bertegaslah dengan mereka sejak kecil lagi supaya dewasa kelak mereka
akan menghormati ibu bapa. Tidak hairan sekiranya terdapat anak yang bersikap
kurang ajar kepada ibu bapa setelah mereka dewasa akibat daripada kemanjaan
yang melampau sewaktu kecil. Bagi menangani masalah ini, beberapa tip boleh
dilakukan oleh anda dan pasangan:
Perhatian dan penjagaan yang secukupnya
Lazimnya, kanak-kanak yang suka memprotes atau memberontak ini
mempunyai agenda tersendiri yang tidak diketahui oleh ibu bapa. Mereka lebih
suka menunjukkan sikap agresif dalam usaha untuk menyampaikan ketidakpuasaan
hati terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, pembahagian kasih sayang
perlulah sama rata agar anak-anak tidak merasa ketidakadilan yang berlaku.
Dalam usia yang sedang giat berkembang, perhatian menjadi faktor utama kepada
pembentukan peribadi si anak. Si anak mungkin akan merajuk atau tidak mendengar
kata sekiranya mereka merasakan diri diabaikan tanpa kasih sayang yang
secukupnya. Suami perlulah bekerjasama dengan isteri agar curahan kasih sayang
tidak hanya tertumpu pada pihak ibu sahaja.
Bertegas dalam memberi arahan
Bertegas bukanlah bermaksud anda perlulah menjadi ibu bapa yang
garang dalam mengawal pergerakan si anak. Dalam konteks ini, bertegas boleh
difokuskan kepada konsisten dalam memberi arahan atau nasihat kepada anak
supaya ia menggambarkan anda tidak akan berkompromi sekiranya mereka melakukan
kesalahan. Sebelum memberikan hukuman adalah lebih wajar sekiranya dimulakan
dengan nasihat terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk menerapkan nilai
disiplin, bertanggungjawab dan menghormati ibu bapa mahupun orang yang lebih
berusia dalam diri mereka. Elakkan hukuman seperti merotan kerana ia hanya
menggalakkan lagi sikap memberontak dalam diri anak-anak.
Meluangkan masa bersama keluarga
Kesibukan kerjaya tidak seharusnya dijadikan alasan oleh
segelintir ibu bapa untuk mengabaikan anak-anak di rumah lebih-lebih lagi anak
yang suka memprotes. Pembahagian masa haruslah betul agar anda dan anak-anak
dapat meluangkan masa yang berkualiti dengan melakukan aktiviti riadah.
Pastikan cuti di hujung minggu diperuntukkan khas untuk keluarga tanpa sebarang
komitmen kerja. Sekiranya anda mempunyai sumber kewangan yang lebih, bawalah
keluarga anda bercuti agar jalinan kekeluargaan menjadi lebih akrab lagi.
Kekalkan keharmonian rumah tangga
Kesejahteraan rumah tangga juga boleh mempengaruhi tingkah laku si
anak. Jika anda dan pasangan kerap kali bertengkar di hadapan mereka,
dikhuatiri anak anda akan mudah untuk mengaplikasikan perkara yang dilihat
ketika berkomunikasi bersama anda kelak. Lazimnya, kanak-kanak menjadikan ibu
bapa sebagai contoh dalam setiap perlakuan yang mereka. Elakkan daripada
bertengkar di hadapan mereka dan tunjukkan sikap dan perwatakan yang baik. Ini
kerana, perwatakan anak adalah hasil daripada didikan yang anda dan pasangan
berikan. Keretakan dalam rumah tangga sebaiknya dielakkan agar anak-anak tidak
berasa tertekan apabila melihat perpisahan yang berlaku antara ibu bapa mereka.
Pengawasan dan perlindungan
Awasi cara pergaulan anak anda agar mereka tidak berkawan dengan
rakan sebaya yang terlampau agresif dan nakal. Rakan sebaya juga mempunyai
pengaruh yang kuat dalam kelakuan anak-anak. Kebiasaannya, kanak-kanak mengikut
gaya percakapan rakan mereka dan mudah untuk menyuarakan ketidakpuasaannya
dengan menggunakan perkataan yang tidak elok. Dalam situasi ini, anda mungkin
boleh meminta tolong daripada pengasuh atau cikgu supaya mengawasi mereka
ketika berada di nurseri, taska atau sekolah. Pemautan sebegini amatlah penting
supaya anda mengetahui perkembangan mereka tidak kira sama ada di dalam rumah
atau di luar rumah.
Berikan pujian sebagai pembakar semangat
Jika anak anda melakukan sesuatu yang diarahkan dengan baik,
berilah mereka pujian dalam usaha untuk menarik perhatian mereka. Ini kerana
kanak-kanak amat gemar pujian terutamanya daripada ibu bapa. Tidak semestinya
anda perlu memberi pujian tersebut dengan disertakan bersama hadiah
semata-mata. Anda dan pasangan boleh memberikan ciuman atau pelukan mesra
kepada mereka sebagai tanda kasih dan sayang anda apabila mereka mematuhi
arahan. Cara sebegini lebih merapatkan lagi hubungan anda dan anak kerana belaian
kasih sayang ibu bapa adalah hadiah yang tidak ternilai harganya buat si
anak.
Sumber :
Majalah Seri Dewi & Keluarga
0 Response to "Anak Suka Memberontak?"
Post a Comment