Foto : Utusan Online
KUALA LUMPUR 29 Jan. -
Kerajaan hari ini mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan krew pesawat Malaysia
Airlines (MAS) yang hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Beijing, 8 Mac
lalu sebagai terkorban.
Dalam pengumuman oleh
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman
yang disiarkan RTM1 pada pukul 6 petang ini, pengisytiharan tersebut dibuat
setelah pesawat itu dianggap terlibat nahas, menepati takrifan Konvensyen
Penerbangan Awam Antarabangsa yang juga dikenali Konvensyen Chicago.
Beliau berkata,
sehubungan itu, selepas 327 hari (setakat semalam) dan dengan segala data yang
diperoleh, adalah tidak mungkin untuk kesemua penumpang dan krew yang berada di
dalam pesawat tersebut berpeluang untuk hidup.
Menurut beliau, ini
berikutan data menunjukkan penerbangan MH370 berakhir di dasar laut kawasan
terpencil di selatan Lautan Hindi melibatkan kedalaman mencecah 6,000 meter
yang jauh daripada kemungkinan untuk mendarat di mana-mana lokasi.
“Untuk itu, dengan
perasaan berat hati dan kesedihan yang amat mendalam, bagi pihak kerajaan
Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan MH370 adalah suatu nahas selaras
dengan Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago.
“Justeru, kesemua 239 penumpang dan krew
dalam pesawat itu dianggap telah terkorban,” katanya yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Bertindak Teknikal Peringkat Tertinggi MH370 dalam pengumuman
kira-kira 15 minit itu.
Menurut Azharuddin, buat
masa ini tidak ada keterangan untuk pihak penyiasat mengaitkan sebarang
spekulasi kepada punca nahas tersebut.
Katanya, ini berikutan
siasatan pihak berkuasa berhadapan kekangan kekurangan bukti fizikal terutama
perakam pesawat.
“Pasukan siasatan
keselamatan MH370 melibatkan tujuh negara dan siasatan jenayah Polis Diraja
Malaysia (PDRM) juga masih berlangsung.
“Laporan interim
berkaitan perkembangan siasatan keselamatan dijangka dikeluarkan dalam tempoh
setahun atau kira-kira setahun selepas insiden nahas tersebut berlaku,”
jelasnya.
Sumber : Utusan Online
0 Response to "MH370: Kerajaan Isytihar Penumpang & Krew Pesawat Terkorban"
Post a Comment