Hidup bahagia ialah impian
setiap insan. Malah itulah matlamat kehidupan kita untuk kekal bahagia
selamanya. Menerajui kehidupan suami isteri bukannya mudah kerana pasti ada
sahaja halangan dan dugaan yang merintangi badai rumah tangga.
Justeru, setiap pasangan
perlu bijak menangani masalah rumah tangga supaya kehidupan suami isteri kekal
bahagia hingga ke hujung usia. Jom teliti panduan di bawah:
Makan bersuap, eratkan
hubungan
Menikmati hidangan dengan
cara bersuap sememangnya akan menambah rasa kasih sayang terhadap pasangan.
Makan dari tangan pasangan akan menjadikan kita lebih erat kerana terasa ada
getaran yang melalui urat saraf kita secara semula jadi.
Tidak kira sama ada suapan
itu dari tangan pasangan ataupun sudu, namun perasaannya tetap serupa. Cubalah
praktikkan makan bersuap, anda pasti akan merasai perubahan dalam hubungan
anda. Usah malu untuk makan bersuap kala di tempat orang ramai. Bukan untuk
menunjuk-nunjuk bahawa kita ini mesra namun itulah sebenarnya yang perlu
dilakukan oleh pasangan suami isteri untuk mengekalkan kebahagiaan hingga ke
hujung usia.
Usah tidur berasingan
Ada pasangan yang sengaja
tidak tidur bersama tatkala berlaku perselisihan faham. Lazimnya suami lebih
cenderung tidur di ruang tamu tatkala tidak bersependapat dalam sesuatu hal
dengan isterinya. Perkara ini sepatutnya dielakkan kerana boleh memburukkan lagi
hubungan yang retak.
Anda sepatutnya
kekal bersama di tempat tidur supaya perkara yang buruk boleh bertambah elok.
Mungkin sebelum tidur anda boleh berbicara dari hati ke hati. Ataupun, jika
tidak berbicara, anda sekadar berdiam diri sahaja. Ada kala dalam kesenyapan
itu hati boleh berbicara sendiri dan akhirnya timbul penyesalan lalu anda boleh
berbaik-baik semula. Itulah kuasa di tempat tidur. Segala hal boleh berlaku
kerana di situlah ruang paling intim antara anda dan pasangan. Ingat! Jangan
tidur berasingan walau apa-apa jua berlaku antara anda.
Tutur kata lembut,
sejukkan hati
Dalam apa-apa juga
situasi, jagalah tutur kata kerana tutur kata boleh membuatkan keadaan
bertambah baik atau bertambah buruk. Untuk memastikan hubungan suami isteri kekal
bahagia, jagalah tutur kata anda.
Ucapkan perkara yang
baik-baik
Jika marah sekali pun,
usah membentak-bentak. Sebaliknya banyakkan istighfar. Dalam Islam pun sudah
menyarankan supaya kita berwuduk ketika marah. Usah dilayan perasaan marah itu
kerana syaitan pastinya menghasut untuk menjadikan rumah tangga kita
porak-peranda. Tuturkanlah perkataan dengan lemah lembut supaya hubungan anda
bahagia kekal selamanya.
Sumber : Majalah Mingguan Wanita
0 Response to "Panduan Kekal Bahagia"
Post a Comment