Ketika berdiet, rasa lapar adalah
masalah yang paling utama. Jika tidak mampu ditangani, boleh mengakibatkan anda
mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak bagi mendapatkan rasa kenyang.
Hasilnya, program diet yang dipraktikkan pasti gagal seterusnya membuatkan anda
bertambah gemuk. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dicuba:
• Kerap minum air
Bagi mengelakkan rasa lapar, amalkan
mengambil segelas air pada setiap jam. Kebiasaan seperti ini amat membantu bagi
mengeluarkan toksik di dalam tubuh sekali gus memberikan rasa kenyang.
Akhirnya, tubuh akan terhidrasi dengan baik seterusnya membuatkan badan kembali
sihat bertenaga.
• Letak kayu manis dalam masakan
Adakah anda tahu bahawa kayu manis
adalah rempah yang sihat dan bermanfaat diletakkan di dalam masakan. Secara
tidak langsung, ia berfungsi untuk menstabilkan gula dalam darah sekali gus
melambatkan proses pencernaan. Hasilnya, anda akan merasa kenyang lebih
lama.
• Makan secara perlahan
Makan pada kadar yang cepat membuatkan
makanan yang ditelan tidak mampu dicerna dengan baik. Oleh itu, makanlah pada
kadar yang lambat atau sederhana. Ia membuatkan proses pencernaan berlangsung
dengan sempurna malah dalam masa yang sama membuatkan anda berasa kenyang dan
selesa.
• Makan buah
Ramai mengetahui bahawasanya buah amat
bagus untuk kesihatan. Namun ada di antaranya gemar mengambil jalan mudah
dengan meminum jusnya sahaja. Antara minum dengan mengunyah, adalah lebih bagus
makan buah asli yang telah siap dipotong. Cara ini dikatakan berupaya
membuatkan seseorang itu berasa kenyang lebih lama.
• Kurangkan gula
Mungkin masih ramai yang belum sedar
bahawa gula mampu membuatkan seseorang itu berasa lapar dan kenyang pada satu
tempoh yang singkat. Sewaktu tekanan darah menurun, kita mudah berasa lapar.
Jalan terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan pengambilan gula
dalam kehidupan sehari-hari.
• Ambil banyak serat
Serat merupakan makanan yang paling
lama untuk dihadamkan. Disebabkan itulah kita digalakkan mengambil serat ketika
sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Pada masa yang sama, ia juga bagus
untuk kesihatan pencernaan kita.
• Minum teh atau kopi
Kopi atau teh adalah minuman yang
bagus diambil bagi mengurangkan rasa lapar. Lebih elok sekiranya ia dihidangkan
bersama jumlah gula yang kurang. Selain itu, teh juga dikatakan berupaya meningkatkan
tahap kesihatan tubuh secara keseluruhan.
• Makan dalam kuantiti sedikit
Tidak salah makan tiga kali
sehari tetapi cubalah ambil makanan tersebut dalam kuantiti sedikit. Pola
makanan sebegini dipercayai amat membantu untuk menjaga paras gula dalam darah
sekali gus menghindarkan kita dari merasa lapar sepanjang masa.
Sumber : Majalah Mingguan Wanita
0 Response to "Atasi Rasa Lapar Ketika Diet"
Post a Comment