Amalan bertungku adalah asas kepada amalan berpantang secara
tradisional yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu. Namun kini, semakin ramai
yang mencuba amalan ini ekoran daripada kebaikannya yang diakui kepada ibu
selepas bersalin.
Bertungku dilakukan sebelum ibu berbengkung. Amalan bertungku
dilakukan sama ada menggunakan seketul batu sungai atau alat tungku yang memang
banyak di pasaran. Tidak kira sama ada anda menggunakan tungku biasa atau
tungku berherba, kelebihannya tetap sama kepada wanita yang mengamalkan.
Kebaikan Bertungku
Salah satu kebaikan bertungku adalah mengecutkan rahim dan
mengeluarkan darah beku. Darah dan lendir mestilah mengalir keluar sepanjang
tempoh berpantang 44 hari mengikut kepercayaan Melayu. Rahim wanita tidak akan
bersih sepenuhnya jika darah berhenti awal dan ini boleh mengugat kesihatan.
Jadi, tujuan bertungku dan memakan jamu adalah untuk memastikan
semua kotoran dan toksin dikeluarkan daripada badan. Amalan bertungku juga
dipercayai dapat memecahkan lemak dalam badan yang berkumpul sepanjang
mengandung, mengecutkan rahim dan organ yang bengkak kerana bersalin,
mengembalikan tubuh badan kepada keadaan asal.
Ketika berurut, tukang urut yang mahir juga akan menaikkan rahim
ibu selepas bersalin ke atas untuk mengelakkan daripada rahim jatuh dan
mendapat penyakit lain di usia tua.
Cara Bertungku
Biasanya amalan tungku dibuat dengan cara tungku tersebut
dibakar dan dibalut dengan daun serai, lengkuas, pandan dan lain-lain daun,
kemudian dilapiskan dengan kain. Alat tungku ditekap pada kawasan perut dan
paha selama sejam. Tetapi jika terlalu sibuk, sekurang-kurangnya peruntukkan
setengah jam untuk bertungku. Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan
caesarean, perlu elakkan kawasan perut dan amalan bertungku hanya boleh
dilakukan selepas tiga keempat minggu selepas bersalin.
Oleh itu ibu selepas bersalin, jangan abaikan amalan tradisional
ini kerana ia mempunyai manfaat berpanjangan kepada kesihatan anda.
Sumber : Majalah PA&MA
0 Response to "Kebaikan Amalan Bertungku"
Post a Comment